7/13/2010

Teknik Menjawab Kertas 2 English untuk UPSR

12 Julai - Satu bengkel telah berlangsung untuk murid-murid tahun 6 di dewan tertutup SKBTK sebaik sahaja sesi kedua pembelajaran bermula. Bengkel ini dilaksanakan dibawah seliaan panitia Bahasa Inggeris SKBTK. Bengkel ini berlangsung selama hampir 2 jam.

Pembugaran NILAM 2010 & KAWAN

12 Julai - Majlis Pembugaran NILAM 2010 telah dilancarkan sewaktu perhimpunan rasmi sesi pagi. Dengan dipengerusikan oleh Puan Jamaliah, Guru Perpustakaan & Media, majlis telah berjalan dengan lancar dan meriah sekali. Pembugaran NILAM ini telah dirasmikan oleh GPK1, En. Mohd Razak Kanapiah yang mewakili Guru Besar SKBTK iaitu Puan Salbiah Karto.  Penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang bagi pingat emas, perak dan gangsa NILAM juga turut disampaikan dalam majlis ini. Majlis ini turut diserikan lagi dengan persembahan daripada murid-murid SKBTK.



              Kemuncak majlis ini adalah kemunculan team KAWAN bersama maskot KAWAN. Kedatangan team KAWAN ini disambut dengan suasana yang penuh ceria oleh warga SKBTK. Warga SKBTK disajikan dengan pencuci mata melihat persembahan silap mata daripada ahli silap mata yang tidak asing lagi iaitu saudara Shahril, bintang Fuyoo Magic di Astro. Bintang ini dibawa khas oleh team KAWAN untuk memeriahkan lagi majlis pada pagi ini.

5/25/2010

Sambutan Hari Guru Peringkat Sekolah

21 Mei - Sambutan Hari Guru SKBTK telah disambut dengan meriah sekali pada hari Jumaat lepas. Bertemakan 'Guru Pembina Negara Bangsa' sekali lagi dipilih pada tahun ini jelas mengangkat martabat perguruan di Malaysia. Tanggal 16 Mei adalah hari yang dinantikan oleh para guru-guru di Malaysia untuk meraikan Hari Guru.
        SKBTK telah mengadakan sambutan Hari Guru peringkat sekolah pada 21 Mei dengan riang ria. Acara bermula dengan perhimpunan pagi, upacara memotong kek dan pulut kuning, kemudian diikuti pula dengan acara sukaneka untuk guru-guru. Selesai sahaja acara sukeneka, guru-guru berehat seketika. Acara yang ditunggu-tunggu oleh semua murid dan guru-guru berlangsung sebaik sahaja waktu rehat tamat iaitu persembahan kreatif daripada guru-guru. Guru-guru telah dibahagikan tugasan mengikut tahun mereka mengajar. Setiap kumpulan guru-guru telah menyampaikan persembahan mereka dengan gaya tersendiri.  Pada hari ini, semua murid SKBTK tersenyum kegembiraan dan tertawa kegirangan melihat aksi dan telatah guru-guru di SKBTK membuat persembahan di hadapan murid-murid.

2/23/2010

Solat Hajat UPSR & Pelancaran Mentor-Menti

 Guru-guru teruja menunggu giliran untuk menerima menti masing-masing

Pada tarikh 6 Februari 2010 telah berlangsung acara solat hajat untuk pelajar-pelajar tahun 6. Solat hajat ini diikuti dengan bacaan Yaasin dan tazkirah daripada GPK1, En. Razak bin Kanapiah. Usai sahaja upacara solat hajat pada sesi pertama, sesi kedua pula berlangsungnya sesi penyerahan mentor-menti. Mentor-menti adalah suatu konsep di mana setiap pelajar tahun 6 akan mendapat seorang guru pembimbing yang dikenali sebagai mentor. Tujuan diwujudkan program ini adalah untuk memastikan setiap pelajar tahun 6 akan mempunyai tempat rujukan bagi meningkatkan mutu pembelajaran mereka.

1/27/2010

Kejohanan Merentas Desa

Kejohanan merentas desa SKBTK telah diadakan pada tarikh ini melibatkan murid-murid tahun 4,5, dan 6. Dikelolakan oleh unit kokurikulum di bawah naungan En. Masran bin Khalil. Kawasan yang direntasi oleh para peserta adalah sekitar seksyen 3 sahaja. Pelbagai tradegi suka dan duka yang terpaksa dilalui oleh murid-murid dan guru-guru sepanjang acara ini berlangsung.

1/23/2010

Hari Anugerah Cemerlang 2009 & Program Strategi & Teknik Belajar Berkesan Tahun 5

Foto Anugerah Cemerlang 

Pada tarikh ini, SKBTK telah mengadakan sekolah ganti sempena menyambut perayaan Tahun Baru Cina beserta Hari Anugerah Cemerlang 2009 yang diadakan di dewan terbuka SKBTK. Pada masa yang sama juga, program Strategi dan Teknik Belajar Berkesan Tahun 5 juga turut dijalankan di dewan tertutup SKBTK yang dikendalikan oleh unit kaunseling SKBTK.