10/25/2010

Perkhemahan di Impian Country Resort

Tanggal 16 & 17 Oktober 2010 pasti menjadi kenangan yang tidak dapat dilupakan oleh murid-murid tahun 6. Perkhemahan di Impian Country Resort mungkin menjadi kenangan manis dan ada juga yang menjadi kenangan pahit bagi murid-murid tahun 6, 2010.


Perhimpunan di dataran bermula pada jam 8 pagi. Murid-murid diarah beratur mengikut bas yang akan dinaiki iaitu bas satu, dua dan tiga untuk diambil kedatangan.




Hampir jam 9 pagi, murid-murid bergerak meninggalkan sekolah dengan lambaian ibu bapa mengiringi perjalanan mereka. Hampir satu jam perjalanan, bas tiba ke destinasi iaitu Impian  Country Resort. Keterujaan murid-murid jelas kelihatan sebaik sahaja mereka melihat sungai yang jernih menanti ketibaan mereka. Bau hutan segar terus menyelinap masuk ke rongga hidung. Begitu mendamaikan sekali.

Murid-murid kemudiannya berhimpun di dewan Impian Resort sambil diberi penerangan tentang aktiviti mereka selama dua hari di situ oleh Penolong Komanden, Pn. Razaini. Seterusnya murid-murid diberi taklimat tentang kem Impian oleh penyelia kem tersebut. Dalam penerangan tersebut, penyelia turut menegaskan beberapa disiplin yang harus murid-murid patuhi sepanjang berada di kem tersebut. Kemudiannya murid-murid menikmati sarapan pagi walaupun agak lewat. Setelah menikmati hidangan, murid-murid diberi kebebasan memilih rakan sekhemah iaitu seramai 3 orang satu khemah.

Aktiviti seterusnya adalah slot membina logo kumpulan yang dikendalikan oleh Pn. Hjh Ruhayah. Aktiviti dibahagikan mengikut kumpulan yang telah ditetapkan sejak awal lagi. Dalam masa yang sama murid-murid perlu mencipta sorakan identiti pengenalan diri kumpulan masing-masing. Nama kumpulan dipilih berdasarkan kepada nama kereta keluaran Malaysia seperti Persona, Waja, Myvi, Viva dan sebagainya. Tepat 12.30 tengahari, murid-murid dijamu pula hidangan tengahari yang begitu menyelerakan sekali.


 
Aktiviti pada sebelah petangnya pula adalah acara anjuran unit beruniform. murid-murid bergerak dalam kumpulan dan perlu menyiapkan aktiviti di check point unit beruniform tersebut. Lewat petangnya pula aktiviti membina ketahanan fizikal murid-murid pula berlangsung. Aktiviti ini diselenggarakan oleh jurulatih di kem Impian sendiri. Aktiviti ini memerlukan kerjasama kumpulan. Masa yang ditunggu-tunggu sejak menjejakkan kaki ke kem ini adalah aktiviti mandi-manda. Setelah berpenat lelah seharian, murid-murid dibenarkan mandi sungai.

 Rekacipta oleh unit beruniform Puteri Islam.
 Memasak oleh unit Tunas Puteri dan Pengakap. Menu istimewa adalah meggi murtabak.


Pada sebelah malamnya pula, pembentangan kumpulan dijalankan. Setiap kumpulan menunjukkan identiti kumpulan mereka melalui sorakan. Selesai pembentangan, acara 'nightwalk' menyusul. Acara ini menguji ketahanan mental murid-murid. Murid-murid bergerak dalam kumpulan dan diuji dengan pelbagai ujian sepanjang perjalanan malam mereka. Tujuan nightwalk ini dijalankan adalah untuk menguji ketabahan diri murid-murid bila diuji dengan pelbagai cabaran. Syabas kepada murid-murid yang berjaya melalui malam tersebut dengan hati yang tabah.

Keesokan paginya, setelah selesai solat subuh berjemaah, murid-murid beriadah memanaskan badan sebelum memulakan jungle tracking. Selesai memanaskan badan, murid-murid bersarapan kemudiannya aktiviti sukaneka bermula. Acaranya adalah aktiviti menyambut belon air. Dikendalikan oleh kem komanden, En. Bahrul Shah, acara dimulakan oleh kumpulan lelaki dahulu. Pasangan tempat pertama dan kedua akan mendapat hadiah. Selesai acara murid-murid, kini giliran guru-guru pula mengambil bahagian. Guru-guru perlu berpasangan lelaki dan perempuan. Pemenangnya adalah Pn. Ruhaya dan En Bahrul. Tahniah diucapkan kepada semua pemenang. Alang-alang kebasahan, murid-murid meneruskan pula aktiviti jungle tracking dengan diiringi guru-guru SKBTK di bawah kelolaan pelatih kem Impian Country Resort.




Setelah bermandikan peluh merungkas hutan dan meredah belantara, murid-murid dan guru-guru menyegarkan diri di dalam air sungai yang mengalir sejuk. Sekian sudah aktiviti selama dua hari di kem Impian. Pada sebelah tengaharinya, selesai sahaja makan tengahari, murid-murid berkumpul semula di dewan untuk ucara majlis penutup. Majlis ini dirasmikan oleh Guru Besar SKBTK sendiri. Majlis penyampaian hadiah dan sesi bergambar bagi guru-guru adalah acara penutup majlis.

Buah berangan dalam kuali,
Lemak isinya berbau kopi,
Andai ada jodoh lagi,
Bertemu kita di lain aktiviti.

Sepetang di Majlis Penutup





0 comments:

Catat Ulasan